|
Kebajikan
Kesedaran terhadap keperluan dalam pembangunan sesebuah negara ialah kebajikan yang menjadi tunggak asas sesebuah kehidupan. Kejayaan dan kekayaan yang disalurkan kepada kebajikan mampu merancakkan pertumbuhan masyarakat yang sihat dan penyayang.
Keperihatinan terhadap golongan yang memerlukan bukan sahaja bantuan dalam bentuk material malah membantu mereka menjalani kehidupan ini tanpa rasa tersisih. Dan membuka peluang juga kepada mereka merasai nikmat kesenangan dan kekayaan. Memberi sesuatu yang baik, akan menghasilkan sesuatu yang baik, istilah ini kerap kita dengar dan bagaimana kita hendak merasa kebahagiaan sedangkan orang disekililing kita tidak bahagia. Terutamanya golongan-golongan yang ternyata amat memerlukan bantuan.

Seharusnya semua pihak, persatuan atau badan-badan organisasi atau syarikat-syarikat kecil yang masih belum berbuat sesuatu tentang kebajikan perlulah mencari jalan dengan kadar yang mampu atau idea baru bagi memeriahkan lagi seni memberi dan bukannya mencari publisiti semata-mata.
Kita harus bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan kepada kita dan sedar bahawa betapa susah kehidupan kita, ada lagi yang lebih susah daripada kita. Sedang kita enak menjamu teh tarik, masih ada yang menggalas air dari sungai untuk keperluan hidup. Kita masih ada tilam yang empuk untuk beradu tetapi masih ada lagi yang tidur dibawah jambatan, kaki lima dan merempat tiada tempat untuk beradu. Seraya kita mengingatkan antara satu sama lain bahawa dunia ini hanyalah tempat tinggal sementara kita sahaja. Dan bagaimana kita menggalas tanggungjawab sementara kita masih lagi bernafas. Mencari keberkatan dalam kehidupan bukan sahaja dengan memberi malah menggalas amanah juga adalah tanggungjawab bersama.
|